Pemain ping pong wanita negara, Ting Hie Phin, enggan statusnya sebagai juara kebangsaan 2016 dipandang remeh meskipun tidak bersama skuad negara ke Kejohanan Asia di Wu Xi, China.

Hie Phin tidak disenaraikan ekoran terlambat didaftarkan oleh Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) untuk bersama skuad negara ke China.

Namun, dia tidak berasa kesal kerana masih mempunyai satu lagi kalendar penting untuk disertai, iaitu Kejohanan Dunia di Dusseldorf, Jerman, hujung bulan depan.

Justeru, dia menggunakan masa yang ada untuk mempertajamkan skil dan kemahirannya agar mampu melepasi pusingan kelayakan.

"Di Kejohanan Dunia, atlet perlu beraksi dalam pusingan kelayakan terlebih dahulu, jadi saya berharap mampu melepasi peringkat itu," kata Ting.

Selain itu, sebagai juara kebangsaan 2016, dia juga mahu membuktikan kemampuannya apabila bersaing dalam Sukan SEA nanti.

Hie Phin dijangka akan menyertai dua acara, iaitu perseorangan wanita dan acara berpasukan.

"Saya perlu fokus untuk menghadapi Sukan SEA. Kejohanan di China bukanlah kejohanan keutamaan ketika ini," tambahnya.