Walaupun dianggap sebagai negara paling muda dalam penglibatan Sukan SEA, Timor Leste tetap mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila Larian Baton ketujuh yang dianjurkan di sekitar Dili menerima sambutan meriah.

Selepas merentasi enam negara Asia Tenggara sebelum ini, Larian Baton Sukan SEA merentasi Timor Leste yang membuat kemunculan dalam temasya Sukan SEA pada 2003.



Walaupun kesedaran sukan di kalangan rakyat negara itu tidak seperti negara-negara ASEAN yang lain, Larian Baton yang dianjurkan tetap meriah dengan penglibatan 500 atlet dalam pelbagai acara sukan.

Uniknya, Larian Baton dilangsung pada hari Isnin, larian bermula selepas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, menyerahkan baton kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Presiden Majlis Olimpik Timor Leste, Datuk Seri Francisco Kabualdy.

Melibatkan jarak 10.1 kilometer, larian merentasi beberapa lokasi pelancongan terkenal di Dili dan berakhir di Pejabat Sekretariat Belia dan Sukan Timor Leste.

"Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, (penglibatan rakyat Timor Leste dalam sukan) masih rendah.

"Tetapi dari segi penglibatan mereka, termasuk menteri-menteri kabinet, khususnya Kementerian Belia dan Sukan Timor Leste dan kedutaan, ia membuktikan komitmen mereka dalam Sukan SEA serta menunjukkan betapa seriusnya mereka dalam pembangunan sukan," ujar Saravanan.