Pemain tenis wanita negara, S. Theiviya, mengumumkan sudah bersedia menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur selepas pulih daripada kecederaan bahu kirinya.

Kecederaan yang dialami Theiviya membataskan kelibatnya dalam Terbuka Kuala Lumpur, tempoh hari.

Begitupun, Theiviya yang akan bergandingan dengan Jawairiah Noordin dalam acara beregu, optimis situasi itu tidak akan menjejaskan aksinya dalam Sukan SEA.

Theiviya percaya dia dan Jawairiah mampu memberi saingan kepada pasangan dari Indonesia, Filipina dan Thailand di laman sendiri.

"Saya sering bergandingan dengannya selain mengharungi banyak pertandingan dengan baik.

"Komunikasi di antara kami juga baik di mana dia sering memberi dorongan tatkala saya melakukan kesilapan.

"Dia banyak memberi motivasi kepada saya.

"Kami akan memberikan aksi terbaik untuk merebut pingat emas dan tidak kisah untuk berdepan dengan sesiapa pun," katanya.

Pada masa sama, ketua jurulatih tenis negara, Muliyadi Jamal, tetap mengharapkan pemain negara akan memberi saingan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita walaupun harapan pingat menjurus kepada acara beregu.

Ahmed Deedat Abdul Razak, Asri Marzuki dan Aslina Chua adalah antara pemain yang akan membawa cabaran dalam saingan perseorangan.

"Kami meletakkan harapan ke atas Asri dan Ahmed Deedat.

"Kami sedar berdepan tugas berat tetapi apa-apa pun boleh berlaku dengan kelebihan bermain di laman sendiri.

"Harapan dalam saingan wanita pula digalas oleh Jawairiah dan Aslina.

"Saya harap mereka fokus untuk memberikan aksi terbaik," ujarnya.