Penyerang skuad B-22 tahun negara, N. Thanabalan, menegaskan dia kini bersedia untuk diturunkan menjelang pertemuan dengan Singapura dalam aksi kedua Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, esok.

Dia sebelum ini tidak dapat mengikuti sesi latihan selama tiga hari akibat kecederaan dan hanya mampu mengikuti program pemulihan sambil dipantau oleh jurulatih fizikal.

Sebelum ini, pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, menjelaskan mahu menggunakan khidmat penyerang Felcra FC itu dalam aksi ketiga menentang Myanmar, namun perancangan itu mungkin diubah atas faktor kecederaan yang melanda pemain-pemain ketika bertemu Brunei, semalam.

"Sememangnya Kim Swee mahu menurunkan saya ketika menentang Myanmar.

"Ia bergantung kepada keadaan kerana Jeffrey (Firdaus Chew) kini mengalami kecederaan,” ujarnya.

Thanabalan sebelum ini pernah menjaringkan satu gol menentang lawan sama ketika aksi Piala Dubai, Mac lalu, dan bertekad mahu mengulangi skrip sama jika diturunkan.

"Saya menjaringkan satu gol ke atas Singapura dalam perlawanan di Dubai dan berharap jika diturunkan menentang Singapura, saya dapat menjaringkan gol,” katanya.