Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) kini hanya memerlukan dua peratus lagi bagi mencapai sasaran dana RM80 juta untuk penganjuran temasya dwi-tahunan itu.

MASOC semakin hampir mencapai sasaran itu selepas menerima penajaan daripada syarikat pengangkutan berdasarkan permintaan, Grab Malaysia.

Grab menjadi penaja emas untuk Sukan SEA, 19-30 Ogos ini, dengan anggaran penajaan melebihi RM6 juta yang turut merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan di samping sokongan promosi melalui platform digital.

Lantas menerusi tajaan Grab ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, optimis baki dua peratus tajaan itu akan dilengkapkan tidak lama lagi.

"Dengan penajaan daripada Grab, sukacita saya mengumumkan bahawa setakat hari ini kita sudah sampai 98 peratus daripada sasaran RM80 juta untuk penajaan.

"Ada beberapa perjanjian yang belum kita umumkan lagi, malah kami sudah lebih daripada 100 peratus," kata Khairy dalam majlis pengumuman penajaan Grab di Petaling Jaya, hari ini.

MASOC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zolkples Embong, manakala Grab diwakili Sean Goh.

Antara inisiatif yang akan dibawa Grab termasuk kemudahan pengangkutan kepada sukarelawan, atlet serta pegawai untuk ke lokasi pertandingan.

"Ia percuma untuk sukarelawan, pegawai dan atlet kita yang akan dimuktamadkan nanti.

"Perkhidmatan Grab di venue tertentu juga disediakan untuk membantu warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai isu mobiliti," tambahnya.

Senarai penaja:-

Platinum:
• Petronas, Ajinomoto, FBT, Telekom Malaysia & Naza

Emas:
• AirAsia, Malaysia Airports Berhad & Grab

Perak:
• 100plus, SCGM Berhad, Spritzer, Prudential, Milo & McDonald's.