Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand adalah peluang terbaik buat pelari pecut negara, Nixon Kennedy, membuktikan prestasi semasa bagi memikat hati Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuknya beraksi di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Nixon sebelum ini mula mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai pelari kedua terpantas di belakang Khairul Hafiz Jantan selepas mencatat 10.25 saat dalam acara 100 meter dalam Terbuka Pahang sebelum catatan itu diputuskan tidak sah.

Enggan mengalah, dia ingin membukti kemampuan untuk sekurang-kurangnya mengatasi catatan peribadi 10.45s dalam acara 100m dalam Terbuka Thailand yang menjadi salah satu penilaian KOM untuk menyenaraikan atlet ke Sukan SEA.

Apatah lagi, ia merupakan kejohanan luar negara pertama untuk Nixon tahun ini.

"Ini merupakan kejohanan luar negara pertama buat musim ini, saya berharap dapat melakukan catatan terbaik yang baru," katanya.

Bukan itu sahaja, atlet dari Sarawak ini turut melihat peluangnya cerah untuk kembali berada dalam program Kita Juara selepas digugurkan tahun lalu.

"Saya mengharapkan keputusan yang positif dalam Terbuka Thailand dan seterusnya menyertai skuad olahraga untuk beraksi dalam Sukan SEA. Saya mahu meraih pingat emas dan jika diberikan peluang, mahu memecahkan rekod kebangsaan."

Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand akan membuka tirai esok sehingga 15 Jun.