Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi jaminan bahawa padang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berada di tahap terbaik untuk digunakan sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Khairy meluangkan masa melawat venue itu pagi tadi bersama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, dan menjelaskan keadaan padang di situ layak untuk digunakan untuk ragbi.

Sebelum ini, timbul persoalan besar mengenai permukaan padang yang dilihat mudah rosak selepas digunakan dalam beberapa perlawanan ragbi.

"Saya dah berbincang dengan (Perbadanan) Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya membuat penyelenggaraan padang di antara setiap perlawanan.

"Walaupun kekerapan padang ini digunakan dalam tempoh dua hari, kita dapat menjaga kualiti padang sepanjang pertandingan," kata Khairy.

Sementara itu, Shahrul Zaman berharap KRM akan terus dapat menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang utama ragbi sehingga perancangan pembinaan stadium utama bakal terlaksana dalam tempoh dua tahun lagi.

Bagaimanapun, mereka mengakui terpaksa berbincang dengan pihak lain terutama AirAsia yang kini menjadikan Stadium MBPJ sebagai padang rasmi skuad PJ Rangers apabila beraksi di laman sendiri dalam aksi Liga Malaysia.

"Kami memang berhasrat untuk menggunakan Stadium MBPJ ini dari semasa ke semasa untuk pertandingan yang melibatkan kami.

"Bagaimanapun, kami tetap perlu merujuk kepada pihak stadium kerana ia merupakan laman sendiri buat PJ Rangers dan MBPJ,” ujar Shahrul.

Skuad ragbi negara bakal turun beraksi menentang Kemboja, Singapura dan Filipina pada 19 Ogos sebelum meneruskan aksi bertemu Thailand dan Indonesia pada keesokan harinya.