Barisan pemain skuasy negara kekal fokus untuk menghadapi misi memenangi tujuh pingat emas susulan majlis undian keseluruhan sembilan acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia SRAM, Mejar (B) S. Maniam, berkata beliau enggan melihat pemain negara memandang mudah pihak lawan walaupun pasukan skuasy Malaysia berstatus pilihan utama.

"Kami tidak mahu bersikap ambil mudah terhadap mana-mana pencabar seperti Filipina dan Singapura. Pasangan beregu mereka berlatih dengan lancar, oleh itu kami perlu berhati-hati.

"Undian begitu bererti buat kami, jadi kami berhati-hati dan sudah bersedia. Sasaran kami adalah tujuh emas dan kami akan menyumbang tujuh emas."

Mengulas persiapan akhir barisan negara, Maniam berkata: "Pemain sedang berlatih dua sesi, iaitu pagi dan petang.

"Sebelah pagi, kami mengadakan sesi berkumpulan dan beregu. Petang, acara sesi solo dan beregu dengan jurulatih. Kami akan bersedia untuk Sukan SEA, terutama beregu," tambahnya.

Skuasy Sukan SEA akan dipertandingkan di Pusat Skuasy Nasional, KL Sports City di Bukit Jalil, dari 21 hingga 29 Ogos ini.