Sukan skuasy dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bakal menjadi tumpuan buat kontinjen negara susulan dilihat sebagai lubuk emas meskipun tanpa penampilan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Skuasy antara sukan yang sering mendominasi pingat emas buat kontinjen negara dalam beberapa edisi Sukan SEA sebelum ini.

Kali terakhir dalam Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu, pasukan skuasy negara cemerlang menyumbang empat pingat emas dan dua pingat perak.

Sememangnya, kejayaan itu mahu diulangi skuad negara yang akan bertindak sebagai tuan rumah temasya kali ini.

"Berdasarkan pengalaman kami, terdapat beberapa perlawanan yang kami tewas kerana terlalu yakin. Saya berharap pasukan negara bersifat waspada bagi memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti," kata pengarah kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar S. Maniam.

Hasrat untuk menyaksikan kelibat Nicol di pentas Sukan SEA di tanah air selepas kali terakhir pada 2001 tidak kesampaian.

Bekas pemain nombor satu dunia yang juga juara dunia lapan kali itu disahkan tidak mengambil bahagian.

Sebaliknya, skuad negara kali ini dibarisi pemain-pemain muda membabitkan lapan lelaki dan lapan wanita.

Juara remaja dunia, Ng Eain Yow, akan mengetuai cabaran lelaki manakala pemain nombor tiga negara, Rachel Arnold, akan mengetuai skuad wanita .

Ia bagi misi memenangi tujuh daripada sembilan pingat emas, iaitu dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran serta pasukan lelaki dan wanita.

"Bagi saya, kami tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan pingat emas dan berharap untuk mendominasi saingan kali ini," kata atlet skuasy negara, Adeen Indrakie.

Berbekalkan semangat pemain muda, skuasy menjadi taruhan Malaysia untuk misi Kita Juara.