Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) telah mengesahkan senarai lapan atlet bagi acara compound tatkala empat pemanah lelaki bagi acara recurve berkemungkinan besar akan dirombak.

Empat atlet wanita bagi acara recurve dan lapan atlet untuk compound akan dikekalkan dalam senarai akhir Sukan SEA.

Bagi acara recurve lelaki, Muhammad Ikram Joni masih belum berada di kedudukan selesa dan mungkin disingkirkan jika tidak mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala Dunia di Turki yang akan menjadi medan penilaian terakhir.

Atlet pelapis negara, Mohd Zarif Syahir -- pemenang pingat emas Kejohanan Memanah Asia Tenggara 2017 di Myanmar -- berkemungkinan besar bakal menjadi pengganti Ikram di pentas di Kuala Lumpur 2017.

Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin, bagaimanapun, boleh menarik nafas lega untuk kekal berada dalam skuad.

"Lapan atlet akan beraksi bagi acara recurve dan compound dalam Sukan SEA kali ini. Mungkin terdapat rombakan dalam pasukan recurve lelaki dan ia bergantung kepada keputusan kejohanan Piala Dunia di Turki," kata Setiausaha NAAM, Datuk Abdul Hamid Hassan.

Sasaran empat pingat emas dalam edisi ini masih kekal di mana ia tidak terhad kepada acara individu.

Tambah Hamid: "Seperti dalam edisi Sukan SEA sebelum ini, skuad memanah turut meraih pingat emas dalam acara individu. Kami akan cuba memastikan setiap atlet meraih pingat dalam Sukan SEA."