Perubahan format pertandingan bakal berlaku melibatkan sukan petanque dalam Sukan SEA 2017 dengan tiada lagi aksi round robin, sekaligus memberi sedikit kelebihan kepada skuad negara.

Berdasarkan format terbaharu, setiap kategori dipecahkan kepada saingan peringkat kumpulan sebelum aksi seterusnya melibatkan peringkat separuh akhir dan akhir.

Ini pendekatan kali pertama buat sukan petanque kerana dalam semua temasya sebelum ini, atlet perlu bermain secara format round robin sebelum dua pasukan teratas bermain di pentas akhir.

Menurut jurulatih, Zani Lisa Mohamed, penggunaan format itu pasti memberi kesukaran kepada sesetengah negara pesaing menyesuaikan diri.

"Ia akan dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan negara yang beraksi dalam final ketika Sukan SEA Singapura. Jadi, ia akan memberi pilihan kepada kami kerana akan dipisahkan dengan Thailand," katanya.

Sementara itu, Zani mengesahkan tiada banyak perubahan atlet dari negara lain berbanding dalam Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Juara bertahan, Thailand -- yang membolot lapan pingat emas di Singapura -- masih menghantar atlet yang sama bertanding di Kuala Lumpur.

"Kalau kami memberi tumpuan kepada Thailand, kami akan tahu siapa yang akan beraksi dalam acara apa.

Tetapi dalam kes Vietnam, mereka menghantar senarai nama lebih 20 atlet, jadi kami tidak dapat mengenal pasti siapa yang akan diturunkan," tambah Zani.