Kontinjen muay thai negara menerima tamparan hebat apabila pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013, Mohd Lokman Akimi Mat Roji, terpaksa menarik diri ekoran kecederaan lutut.

Jurulatih muay thai negara, Bernard Radin, mengesahkan Lukman sudah tidak lagi menjalani latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak kembali dari Thailand bulan lalu.

Ketiadaan pemenang pingat emas kategori bawah 51 kilogram (kg) itu nyata sedikit mengecewakan Bernard selepas kehilangan seorang lagi pemenang emas, Muhd Faizal Ramli.

Harapan negara kini akan digalas Muhammad Ali Yaakub yang menjadi prospek utama emas negara dalam kategori bawah 54 kg.

"Lokman Akimi terpaksa menarik diri akibat kecederaan kerana dia berasakan tidak mampu memberi komitmen 100 peratus seperti biasa.

"Dia menganggap sebagai peninju berpengalaman, dia adalah contoh moral kepada peninju-peninju lain.

"Kalau dia tak boleh buat, dia bimbang akan memberi kesan negatif.

"Oleh itu, dia meminta kebenaran Persatuan MuayThai Malaysia (MMA) untuk menarik diri, kami menghormati kehendaknya," katanya.

Sementara itu, Presiden MMA, Datuk Muhammad Shannaz Azmi, mengesahkan Kejohanan Pra-Sukan SEA akan diadakan dari 18 hingga 20 Mei depan di Padang Jawa, Shah Alam.

Namun, taraf kejohanan itu dilihat tinggi buat atlet negara berikutan MMA akan menjemput peserta dari beberapa negara kuasa besar dari rantau Eropah dan Asia.

"Atlet kita perlukan lebih pendedahan, kita sedar betapa kuatnya atlet-atlet dari Kemboja, Laos dan lain-lain.

"Kami akan menggunakan pentas pra Sukan SEA ini dengan menjemput negara lain seperti Russia, Turki dan kemungkinan Belarus dan Iran.

"Selain sebagai untuk medan menguji gelanggang Sukan SEA, kejohanan itu juga boleh menjadi platform untuk kami menguji atlet negara," ujarnya.