Walaupun menyasarkan pencapaian sama seperti dua tahun lalu, iaitu lima pingat emas, skuad memanah negara sedia mencipta kejutan dengan kelebihan di tempat sendiri menjadi sandaran bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos nanti.

Edisi 2015 di Singapura menyaksikan skuad memanah negara muncul pasukan terbaik dengan meraih lima emas, tiga perak serta dua gangsa.

Acara compound paling cemerlang dengan merangkul empat emas manakala satu emas lagi disumbangkan dalam acara recurve menerusi berpasukan lelaki.

Nyata, kekecewaan itu ingin diatasi skuad recurve negara yang bakal diketuai Olimpian, Khairul Anuar Mohamad.

Motivasi tambahan pastinya buat Khairul sendiri berikutan gagal mempertahankan emas di Singapura, sedangkan dia mengungguli saingan individu dalam edisi 2013 di Naypyidaw.

"Saya akan tetap berjuang mendapat emas selepas gagal mara ke pusingan akhir susulan kekalahan kepada pasukan Singapura.

"Kami tak menjangka prestasi mereka menjadi," katanya.

Atlet memanah senior negara, Haziq Kamaruddin, pula mengakui walaupun bermain di laman sendiri memberi kelebihan walaupun dalam masa yang sama, ia menghadirkan tekanan.

Dalam pada itu, skuad compound negara optimis dapat mempertahankan emas, malah mampu untuk menyapu bersih kesemua acara yang dipertandingkan.

Saingan compound individu lelaki dan wanita antara yang membuka perebutan pingat pada Ogos nanti dan kontinjen Malaysia boleh menjangkakan emas pertama daripada acara ini.

Antara taruhan negara sudah pasti terarah kepada Zulfadhli Ruslan serta Juwaidi Mazuki selepas masing-masing meraih pingat perak serta gangsa, edisi lalu.

"Persiapan Sukan SEA kali ini dilakukan lebih rapi. Pada 2015, kami hanya menjalani latihan pusat selama dua minggu.

"Tetapi, untuk Sukan SEA Kuala Lumpur, latihan kami telah bermula sejak tahun lepas lagi," kata Zulfadhli.

Bahagian wanita pula dijangka bakal menyaksikan penguasaan penuh Malaysia apabila Fatin Nurfatehah Mat Salleh sekali lagi menjadi sandaran.

Kehadiran bekas pemanah kebangsaan, Muhammad Zaki Mahzan, selaku jurulatih tetap compound juga mengukuhkan lagi persiapan atlet negara untuk menghadapi temasya Sukan SEA nanti.

"Selepas menyerlah di Singapura, kami mampu meneruskannya di Kuala Lumpur berdasarkan prestasi semasa.

"Cuma dari segi persiapan mental untuk menghadapi Sukan SEA perlu dipertingkatkan lagi," kata jurulatih itu.

Pertukaran venue pertandingan dari Dataran Merdeka ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, juga dijangka tidak menjejaskan tumpuan serta latihan skuad memanah negara kerana kelebihan itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengatasi pencabar yang lain.