Skuad luncur ais negara memerlukan masa yang mencukupi untuk membiasakan diri dengan venue pertandingan memandangkan mereka tiada tempat latihan sendiri.

Bagi dua atlet luncur ais negara, Khairil Ridhwan Khalil dan Wong De Vin, kedua-duanya mengharapkan Stadium Empire City di Damansara Perdana dapat digunakan secepat mungkin sebagai persediaan terakhir menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Lebih memeritkan, mereka kini terpaksa berlatih di pusat luncur ais awam di IOI City Mall dan mereka mengakui sukar untuk berlatih di hadapan khalayak ramai.

“Amat penting untuk kami membiasakan diri dengan venue pertandingan kerana banyak aspek perlu diketahui seperti tahap kelicinan ais sebagai contoh,” kata Khairil.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, turut mengadakan lawatan ke venue berkenaan hari ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi skuad luncur ais kebangsaan ini.

“Saya berharap mereka dapat menyiapkan venue secepat mungkin kerana sebelum ini saya sendiri pernah menghadapi masalah venue rosak.

“Jika ia dapat disiapkan awal, venue tersebut akan dapat diuji dan ia adalah untuk kebaikan atlet,” ujar De Vin.