Kapten skuad futsal wanita negara, Farahiyah Muhamad Ridzuan, optimis barisan negara kali ini berupaya mencabar pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-30 Ogos depan.

Pemain kelahiran Kelantan itu menyifatkan pasukan negara kini lebih seimbang berbanding skuad 2013 yang meraih gangsa di Myanmar.

Farahiyah, yang turut membarisi skuad negara dalam temasya 2013, juga percaya rakan sepasukannya komited untuk melakar kejayaan beraksi di laman sendiri nanti.

"Sebahagian besar pemain adalah pemain muda, (bagaimanapun) keserasian sudah dapat dilihat, dan pasukan semakin yakin ketika ini.

"Untuk kejohanan seterusnya, kami sasar untuk mara ke final dan mendapatkan pingat emas, bukan perak," katanya.

Dalam pada itu, jurulatihnya, Muizzuddin Mohd Haris, memberi tumpuan kepada aspek pertahanan dan juga serangan dalam latihan pusat kali ini.

Latihan pusat itu disertai 20 pemain dan 11 daripada mereka adalah daripada kelab Felda United.

"Dalam kem latihan ini, saya telah mengaturkan tiga perlawanan persahabatan di mana kami akan menentang pasukan tempatan.

"Kebanyakannya, kami akan menentang pasukan lelaki kerana kekuatan lelaki ini serba sedikit dapat membantu terutama daripada segi taktikal dan pertahanan," kata Muizzuddin.

Pencapaian terbaik skuad futsal wanita ialah meraih pingat gangsa di Naypyidaw pada 2013.