Skuad futsal lelaki negara bertekad memburu pingat emas tatkala barisan wanita negara turut menyasarkan kejayaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan sungguhpun menyedari kesukaran yang bakal dihadapi.

Bagi pengendali skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong, meskipun sukar, namun ia bukan sesuatu yang mustahil buat barisan negara kecapi.

Tambahan pula, beraksi di laman sendiri seharusnya memberi lonjakan motivasi buat barisan negara memburu kejayaan.

Chun Yong juga berasakan reputasi Thailand sebagai gergasi futsal di rantau ini tidak harus menjejaskan mental pemain kerana bekas tonggak negara itu percaya Thailand turut gusar untuk berdepan anak buahnya.

"Anda tidak boleh lagi fikir ia sesuatu yang mustahil untuk menewaskan Thailand.

"Lihatlah persembahan kami baru-baru ini. Kami mempunyai strategi tersendiri.

"Saya percaya mereka juga risau untuk berdepan kami," kata jurulatih negara itu.

Pandangan sama turut dilontarkan tonggak pertahanan negara, Mohd Azwann Aris, yang percaya pemain akan mengerah segala kudrat jika berdepan Thailand.

"Kami perlu menang emas kerana kelebihan bermain di tempat sendiri.

"Sebenarnya misi ini bukan mudah, apatah lagi tekanan bermain di laman sendiri tetapi dengan semangat, kami boleh melakukannya," katanya.

Dalam masa sama, barisan wanita negara turut mempunyai impian mencapai kejayaan dalam Sukan SEA biarpun menganggap emas sebagai bonus.

Seperti saingan lelaki, Thailand dijangka menurunkan skuad ampuh memburu emas.

Dikendalikan bekas kapten dan penyerang utama futsal negara, Muizzuddin Mohd Haris, barisan negara turut bertekad berjuang habis-habisan selain tidak menghiraukan reputasi Thailand.

"Sasaran asal kami adalah pingat perak.

"Berdasarkan reaksi dan semangat pemain-pemain, sekurang-kurangnya kami mampu meraih gangsa ataupun perak," ujar Muizzuddin.