Skuad memanah compound negara semakin serasi dengan venue pertandingan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil selepas mengungguli tiga daripada empat acara yang dipertandingkan dalam satu kejohanan simulasi.

Pertandingan simulasi itu diadakan selama dua hari dengan saingan compound terlebih dahulu membuka tirai, hari ini.

Keadaan angin -- yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan tempat latihan atlet -- menjadi cabaran utama.

Begitupun, skuad negara mampu mengadaptasi keadaan sekeliling dengan baik apabila memenangi acara individu lelaki menerusi Juwaidi Mazuki serta berpasukan lelaki dan wanita.

Acara individu wanita dimenangi atlet Kuala Lumpur, Sazatul Nadhirah Zakaria, yang menewaskan wakil negara, Nurul Syazhera Mohd Asmi.

Jurulatih compound negara, Zaki Mahazan, berharap rentak ini akan berterusan semasa pertandingan sebenar nanti.

"Atlet kelihatan stabil, cuma di sini setiap daripada mereka perlu mengatasi masalah angin. Mereka perlu lebih berjaga-jaga," jelas Zaki.

Sementara itu, Juwaidi dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh sudah semakin menyesuaikan diri dengan venue ini dan berharap kelebihan itu mampu membantu mereka membawa cabaran mereka dalam saingan sebenar.

"Simulasi ini sangat membantu, terutama dalam memberi peluang kepada atlet membiasakan diri dengan keadaan angin. Kami mengharapkan keputusan yang lebih baik dalam saingan sebenar nanti," kata Juwaidi.