Kejohanan Boling Terbuka Thailand dan Macau menjadi sandaran buat atlet boling negara, Ahmad Muaz Fishol, untuk membuktikan dia layak berada dalam senarai akhir skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.

Skuad boling negara menyaksikan persaingan dalam kalangan atletnya bagi merebut tempat dalam temasya itu dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Antara yang menjadi pilihan sudah pastilah Rafiq Ismail yang juga juara saingan individu yang dirakamkannya dua tahun lalu di Singapura selain pengalaman yang dimiliki Alex Lim.

Tidak mahu ketinggalan, Muaz turut berharap tersenarai dalam skuad negara dan mengharapkan persembahan cemerlang di Thailand serta Macau nanti dapat dijadikan ukuran kemampuannya.

"Perancangan skuad boling berjalan lancar, cuma masih dalam sesi pemilihan dan saya masih tak pasti bilakah senarai akhir atlet ke Sukan SEA akan diumumkan.

"Ini kerana kelapan-lapan atlet yang merebut tempat sedang bersaing sengit.

"Susah untuk menjangka peluang masing-masing," katanya.

Dalam edisi 2015, Muaz meraih dua pingat emas menerusi acara trio dan lima sepasukan lelaki.

Ketika itu, Malaysia diwakili Muaz, Rafiq, Adrian Ang, Alex, Timmy Tan serta Jonathan Chan.

Walaupun ingin mencapai impian untuk bergelar juara dalam saingan individu, Muaz lebih selesa untuk mempertahankan emas yang dimenanginya itu terlebih dahulu.

"Peluang itu ada dan saya akan cuba memberikan yang terbaik.

"Kami berasa agak tertekan kerana bakal beraksi di laman sendiri, maka tekanannya akan lebih tinggi berbanding sebelum ini."