Jurulatih bola tampar Sukan SEA, Tay Yeu Siong, berharap kilauan pingat tanpa mengira warna mampu dijelmakan barisannya selepas 16 tahun gagal berbuat demikian dalam temasya itu.

Melabelkan barisan kali ini lebih berkualiti jika dibandingkan dengan pasukan kendaliannya dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, sasaran mahu memastikan pingat Sukan SEA bukan angan kosong.

Apatah lagi, kejayaan mengutip perak pada 2001 sudah begitu lama, dan menjadi tanggungjawab utama skuad Yeu Siong untuk mencipta sejarah baru di hadapan penyokong sendiri kali ini.

"Kami menyasarkan pingat kerana selepas 2001, kami gagal membawa pulang mata. Kali ini saya mendapatkan pemain muda kerana dapat memberikan komitmen sepenuhnya," ujarnya.

Yeu Siong, bagaimanapun, belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi terkini anak buanhya.

Dia mahu menilai kualiti sebenar skuadnya selepas Kejohanan Bola Tampar Asia di Iran minggu depan sebelum senarai 15 pemain terbaik akan diumumkan Julai ini.

"Saya nampak persembahan mereka sangat bagus ketika ini berbanding Singapura dua tahun lalu kerana ketika itu mereka hanya berlatih untuk jangka masa pendek.

"Bagi saya, skuad sedia ada lebih bagus berbanding di Singapura," tambahnya.

Skuad Sukan SEA muncul juara dalam Kejohanan IJN Kelab Bola Tampar, hari ini dengan kemenangan mudah 3-0 mengatasi Kelab Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).