Skuad bola tampar negara mudah memenangi pusingan awal peringkat Kumpulan A apabila menewaskan kelab Merpati dari Indonesia dalam Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam 2017 yang bermula hari ini.

Malaysia, yang berada dalam Kumpulan A di samping kelab Merpati dan juga skuad kebangsaan Singapura, berjaya mengatasi pusingan awal dengan mudah dalam aksi yang berakhir dalam set keempat.

Dalam set pertama, Malaysia tidak mengalami masalah untuk menguasai permainan dengan keputusan 25-15 sebelum pasukan kendalian Tey Yeu itu memenangi set kedua 25-16.

Merpati berupaya bangkit dalam set ketiga untuk menang tipis 28-26.

Bagaimanapun, Malaysia kembali merampas kemenangan dalam set keempat 25-22 bagi menamatkan tentangan Merpati.

Di sebalik kejayaan awal itu, kapten pasukan negara, Sim Jian Qin, menganggap pemain muda dalam skuad kebangsaan masih belum mendapat rentak permainan terbaik dalam pusingan awal ini.

"Rakan sepasukan bermain dengan semangat.

"Cuma, prestasi kami tidak begitu konsisten sebab kebanyakkan pemain negara terdiri daripada pemain muda dan kurang berpengalaman.

"Yang pernah bermain dalam Sukan SEA hanya tiga orang, selebihnya muka baru," ujarnya.