“Saya mahu menamatkan badi dalam Sukan SEA,” demikian impian serta motivasi utama pemain boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, yang berasa terkilan kerana gagal menyerlah dalam empat edisi terakhir Sukan SEA yang disertainya.

Biarpun meraih banyak kejayaan dalam Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel, Siti Zalina tidak dapat berselindung yang dia berasa terkilan dengan pencapaiannya dalam Sukan SEA.

Hanya Sukan SEA 1999 di Brunei menjadi satu-satunya kejayaan pingat emas Siti Zalina, dengan kemunculan di Kuala Lumpur, Filipina dan terakhir di Korat berakhir dengan kegagalan.

Dia berasakan nasib tidak begitu memihaknya setiap kali bertanding dalam temasya serantau itu walaupun lawan yang menewaskannya berjaya diatasi dalam kejohanan lebih besar.

"Secara peribadi, rekod pencapaian saya dalam Sukan SEA tidak berapa baik., Selepas beraksi dalam empat edisi Sukan SEA, saya hanya berjaya meraih satu pingat emas ketika di Brunei.

"Jadi, ini merupakan peluang buat diri saya untuk mendapatkan semula pingat emas tersebut," katanya.

Sementara itu, Siti Zalina yang akan bertanding dalam acara single wanita, menyambut baik syarat setiap atlet hanya dibenarkan mengambil satu acara.

Baginya, dia lebih selesa dengan format sedemikian kerana mampu memberikan fokus dalam acara yang disertai.

"Daripada lapan pertandingan, kami meletakkan sasaran pingat emas dalam empat acara. Bagaimanapun, kami harus sentiasa bersedia menghadapi cabaran Sukan SEA nanti."