Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, menyarankan dua atlet menembak, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli, mengemukakan rayuan secara rasmi kepada MOM jika berasa tiada keadilan berhubung pengguguran mereka daripada Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Menurut Tunku Imran, MOM setakat ini belum lagi menerima sebarang rayuan rasmi daripada dua penembak itu.

Nur Ayuni dan Muslifah sebelum ini mengadakan sidang media bagi menyuarakan perasaan tidak berpuas hati digugurkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) ke Sukan SEA.

Namun, Tunku Imran berharap mereka mengemukakan rayuan secara rasmi kepada MOM untuk meleraikan isu itu dengan baik.

"Mereka boleh (merujuk) kepada kami, namun harus diingat, kami hanya mahukan proses yang adil," ujarnya.

Dalam pada itu, Tunku Imran memberi tempoh hingga Jumaat ini buat persatuan sukan kebangsaan yang belum menyerahkan senarai muktamad atlet ke Sukan SEA untuk berbuat demikian.

"Kami berharap dapat memuktamadkan keputusannya pada hujung minggu ini dan menyelesaikan segala urusan sebelum hari raya."