Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mencabar skuad bola sepak bawah 22 tahun negara untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi merebut ibu segala pingat dalam temasya itu nanti.

Kejayaan mereka menjuarai kumpulan dalam kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun baru-baru ini memberi gambaran bahawa Malaysia mampu merampas semula emas yang kali terakhir dimenangi di Jakarta 2011.

Di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee, yang mengambil alih tugas Frank Bernhardt pada Januari lalu dan hanya berbekal beberapa hari untuk membuat persiapan sebelum menghadapi saingan kelayakan di Bangkok, skuad negara mengejutkan ramai dengan menjuarai peringkat kumpulan yang turut mengandungi pasukan tuan rumah, Thailand.

Beraksi tanpa enam tonggak utama, Matthew Davies dan Mohd Nor Azam Azih dari Pahang, Safawi Rasid dan Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim) serta dua pemain Pulau Pinang, S. Kumaaharan dan Syamer Kutty Abba, ia tidak menghalang mereka untuk mencipta kejayaan.

Mereka muncul juara Kumpulan H selepas meraih kemenangan ke atas Indonesia 3-0 dan Mongolia 2-0 di sebalik tewas kepada Thailand 3-0.

Shapawi berbangga dengan pencapaian tersebut, malah mencabar skuad bawah 22 tahun negara untuk terus memberikan yang terbaik ketika beraksi dalam Sukan SEA.

"Perjalanan skuad bola sepak agak berliku tetapi prestasi semasa mereka memberikan keyakinan dan tidak mustahil kejutan dapat dihasilkan mereka.

"Kim Swee merupakan jurulatih yang berpengalaman dan beliau telah membawa Malaysia meraih emas di Jakarta," kata Shapawi.

"Saya berharap (dengan) beraksi di Malaysia, ia akan menjadi satu suntikan dan pasukan mahu membuktikan kebolehan mereka dalam Sukan SEA kali ini."

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei.

Mereka akan memulakan aksi pada 14 Ogos berdepan Brunei di Stadium Shah Alam.