Shahruddin Jamaluddin pernah menggegar arena karate-do Asia Tenggara apabila meraih emas Sukan SEA Indonesia 2011 sebelum meninggalkan skuad kebangsaan dua tahun kemudian.

Namun, Shaharuddin mengambil keputusan kembali beraksi dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ditanya apakah faktor di sebalik keputusannya untuk kembali, Shahruddin yang ditemui Nadi Arena berkata: "Saya rasa semangat berpasukan. Pasukan juga masih lagi memerlukan khidmat saya.

"Kebanyakan atlet baru berusia sekitar 20 tahun, jadi mereka memerlukan seorang atlet berpengalaman. Itu sebabnya saya kembali membarisi skuad karate negara."

"Saya tidak meninggalkan sukan karate bergitu sahaja. Saya telah menceburi sukan ini sejak umur saya 10 tahun lagi. Sukan ini sudah menjadi darah daging saya.

"Selepas meninggalkan skuad kebangsaan, saya meneruskan latihan di bawah jurulatih, Arivalagan."

Pelik tapi benar, ketika meninggalkan skuad kebangsaan, Shahruddin cuba menjinakkan diri dengan bidang yang jelas berbeza dengan keperibadiannya.

"Saya menceburi bidang lakonan dan menjadi model.

"Saya meninggalkan skuad kebangsaan kerana ketika itu saya berasa sedikit tertekan, apatah lagi sedang mengalami kecederaan dan dalam proses pemulihan," tambahnya.

Menafikan cintanya terhadap arena karate sudah berkubur, Shahruddin menjelaskan dia tetap menjalankan latihan meskipun tidak lagi bersama skuad negara.

"Karate tetap no.1 dalam hati saya, walaupun mencuba bidang lain tetapi karate tetap menjadi keutamaan.

"Dalam tempoh empat tahun itu juga, saya terus menjalani latihan sebaik pulih di Kelab Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Saya sebenarnya tidak merancang untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan tetapi mengetahui Sukan SEA kali ini di Kuala Lumpur, saya terpanggil menyertai kem negara.

"Saya tidak boleh berjanji kepada rakyat Malaysia untuk membawa pulang pingat kerana seperti saya katakan, saya baru sahaja kembali ke arena karate.

"Kita tengok prestasi saya dalam Terbuka Malaysia minggu ini, jadi selepas beberapa kejohanan, baru mereka akan menilai sama ada saya layak atau tidak untuk ke Sukan SEA."