Jaguh taekwondo Kemboja, Sorn Seavmey, menjadi pilihan utama sebagai pembawa bendera kontinjen Kemboja ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan reputasinya sebagai juara Asia.

Atlet berusia 22 tahun ini memiliki reputasi besar, terutama selepas meraih emas Sukan SEA Myanmar 2013, diikuti emas Sukan Asia Incheon 2014.

Begitupun, impian mempertahankan emas Sukan SEA Singapura dua tahun lalu tidak kesampaian apabila acara 73kg tidak dipertandingkan.

Berbekalkan pencapaian itu, dia diberi penghormatan sebagai pembawa pertama dalam Larian Obor Sukan SEA di Kemboja.

"Ini satu penghormatan besar. Saya tidak terlalu memikirkannya. Apa yang lebih penting ialah menghadiahkan emas untuk negara saya," kata Seavmey.

Seramai tujuh atlet Kemboja diberi penghormatan sebagai pembawa obor Larian Obor Bangkit Bersama menjelang Sukan SEA dan Para ASEAN 2017.

Skuad taekwondo Kemboja menyumbang dua gangsa ketika mereka meraih tangga kelapan keseluruhan Sukan SEA Singapura dua tahun lalu dengan kutipan satu emas, lima perak dan sembilan gangsa.