Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, tidak berpuas hati walaupun berjaya memecahkan rekod kebangsaan 64.55 meter ketika menjuarai Kejohanan Trek dan Padang Jeollanam-do di Korea Selatan kerana misi utamanya adalah pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pencapaian itu juga merupakan amaran awal Jackie untuk merampas emas Sukan SEA.

Dengan catatan 64.55m, ia bermakna dia kini menghuni ranking kedua Asia Tenggara di belakang juara bertahan, Caleb John Stuart dari Filipina.

Stuart kurang menyerlah pada musim ini apabila lebih banyak memberi tumpuan terhadap acara baru, lempar cakera, menjelang temasya pada 19 hingga 31 Ogos depan.

Begitupun, Jackie belum berpuas hati dengan prestasinya.

"Saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian kali ini.

"Ini kerana saya mampu mencatat balingan yang lebih baik dalam sesi latihan.

"Jurulatih menyasarkan saya untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA pada Ogos nanti, dan di bawah bimbingan jurulatih, Gu Yuan, saya mampu mencapai tahap yang lebih tinggi," katanya.

Atlet kelahiran Sarawak itu sekadar meraih gangsa sejak Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Dia akan menyertai satu lagi kejohanan di Korea sebelum pulang tanah air, 19 April ini.

Malaysia pernah muncul gergasi baling tukul besi Asia Tenggara menerusi dominasi Wong Tee Kui pada era 90-an.

Lebih membanggakan, Grace Wong turut menjuarai saingan wanita dengan 60.99m yang juga merupakan rekod baru kebangsaan.