Acara pecut 100 meter antara yang sering diberi tumpuan dalam mana-mana temasya termasuk Sukan SEA sejak sekian lama.

Malaysia pernah mencipta sejarah menerusi tiga pelari lelaki negara yang berjaya meraih pingat emas bagi acara itu bermula tahun 1965, 1967, dan 2003.

Tan Sri Dr. M. Jegathesan , G. Rajalingam dan Nazmizan Muhammad adalah individu istimewa yang pernah mengharumkan nama negara dalam acara itu.

Jegathesan merupakan legenda sukan negara yang turut dikenali sebagai 'The Flying Doctor', menjadi atlet pertama negara meraih emas ketika era Sukan SEAP pada 1965 diikuti Rajalingam dua tahun kemudian.

Berkongsi pengalaman manis itu, dia tidak menyangka mampu mengatasi kuasa besar dari Thailand yang sering kali mengungguli acara 100 meter.

Legasi kejuaraan Jegathesan itu diteruskan Rajalingam tetapi negara kemudian terpaksa menunggu lama sehingga 36 tahun pada era Sukan SEA untuk menyaksikan Nazmizan akhirnya merampas kembali pingat emas.

Bagi Jegathesan, jangka masa yang begitu lama itu disebabkan tiada kesinambungan terbaik seperti mereka, yang mampu mempertahankan pingat emas untuk acara 100 meter.

"Saya dan Rajalingam adalah dalam satu kumpulan sama yang dibentuk baik dalam acara pecut dan apabila kumpulan ini bersara ia tidak diteruskan untuk tempoh yang lama. Kita ada Nazmizan tetapi ia agak keseorangan," kata Jegathesan.

Nazmizan, yang mencatat masa 10.47 saat pada 2003 di Hanoi berjaya menewaskan jaguh Thailand, Sittichai Suwonprateep.

Menariknya, dia menjadi satu-satunya pelari negara yang ada pada era itu untuk mempertaruhkan aksi di pentas Sukan SEA.

Dan kerana itulah, negara makin ketandusan atlet pecut sejak 2003 di mana masih tiada siapa yang berjaya merampas gelaran raja pecut Asia Tenggara sehingga kini.

"Saya merupakan atlet tunggal (negara) yang beraksi dalam acara 100 dan 200 meter. Saya meletakkan sasaran untuk memenangi dua pingat emas dan latihan pada ketika itu memang keras," kata Nazmizan.

Acara 100m wanita turut tidak ketinggalan dalam mengharumkan nama negara menerusi Carmen Koelmeyer yang meraih pingat emas pada 1959 di Bangkok, diikuti tahun 1967 menerusi Cheryl Dorall dan Mumtaz Jaafar di Manila pada 1981.

Pelari pecut terakhir yang meneruskan kejayaan bagi acara itu adalah G. Shanti sewaktu Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia.

Namun, apabila Zaidatul Husniah Zulkifli memadam rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 11.45 saat Mac lalu, ia sekurang-kurangnya memberi petanda bahawa akan ada atlet yang mampu menamatkan kemarau emas dalam acara 100 meter wanita dalam Sukan SEA.

"Tidak ramai perempuan pada masa itu (sertai acara 100 meter), pada mulanya hanya saya seorang perempuan.

"Atlet lelaki ini mempunyai motivasi lain, salah satu sebab saya berjaya kerana mereka," kata Shanti.


Pencapaian emas 100m atlet negara dalam Sukan SEAP/SEA:
LelakiTuan rumah
M. JegathesanKuala Lumpur (1965)
G. RajalingamBangkok (1967)
Nazmizan MuhammadHanoi (2003)
LelakiTuan rumah
Carmen koelmeyerBangkok (1959)
Cheryl DorallBangkok (1967)
Mumtaz JaafarManila (1981)
G. ShantiJakarta (1997)

Gambar: New Straits Times