Atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, meletakkan harapan kepada kuda barunya bagi menghadapi saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang bakal bermula 10 hari lagi.

Kuda daripada baka Jerman yang bernilai RM1 juta itu baru sahaja tiba ke Malaysia pada Isnin lalu dan bakal menjadi taruhan utama Qabil dalam temasya dwitahunan itu.

Jelas Qabil, kuda tersebut mencecah harga yang tinggi kerana ia daripada keturunan yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 1964.

“Dalam sukan ini, kuda yang baik amat diperlukan bagi membantu setiap kali turun beraksi, sama juga dengan seorang pemandu Formula 1 yang memerlukan kereta dengan enjin yang bagus untuk tampil dengan aksi terbaik.

“Untuk peringkat Sukan SEA, kuda jenis ini sudah memadai tetapi jika di pentas Sukan Olimpik, ia boleh mencecah harga jutaan ringgit,” kata Qabil.

Atlet terbaik Sukan SEA 2001 itu telah memiliki Qalisha sejak dua tahun lalu, namun ujian sebenar yang menunggu adalah saingan dalam temasya Kuala Lumpur 2017.