Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Negara (PSN), Azman Fahmi Osman, memberi jaminan langkah pencegahan efektif telah dilakukan bagi memastikan wabak denggi dapat dibendung sepenuhnya sehingga menjelang Sukan SEA, 19-31 Ogos nanti.

Buat masa ini, PSN telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kerja pencegahan berjalan lancar.

Antara langkah pencegahan setakat ini ialah kekerapan semburan kabus di kawasan pembinaan selain pembersihan selepas hujan.

Walaupun masih belum ada kes denggi di kawasan pembinaan yang beroperasi 23 jam sehari, Azman sama sekali tidak mengambil ringan masalah berkenaan.

"Kami telah meningkatkan lagi langkah-langkah pencegahan wabak denggi ini.

"Contohnya dengan membuat semburan dan menghapuskan jentik-jentik dengan lebih kerap lagi.

"Lagipun, disebabkan hujan, kemungkinan rawatan yang dilakukan tidak begitu efektif. Disebabkan itu, langkah pencegahan akan dibuat dengan lebih kerap," katanya.

Dalam masa yang sama, Azman yakin Sukan SEA 2017 akan berlangsung bebas daripada sebarang kes denggi.

Proses saringan akan dilakukan bagi mengenal pasti tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes selepas Bandar Sukan Kuala Lumpur siap untuk kegunaan Sukan SEA, Julai ini.

"KKM telah tampil membantu dan memberi panduan kepada kontraktor mengenai soal kebersihan dengan memberi penerangan yang betul tentang cara-cara untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes ini.

"Kami akan membuat langkah pencegahan yang lebih baik lagi supaya Sukan SEA nanti bebas daripada wabak denggi."