Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yakin barisan muda pesilat negara mampu menghadirkan kilauan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata walaupun Malaysia kehilangan beberapa prospek emas dalam beberapa acara tempur, beliau yakin beberapa pesilat muda yang akan dipilih dapat mempamerkan aksi cemerlang dalam temasya sukan dwitahunan itu.

“Saya tengok saingan kali ini adil walaupun kita kehilangan (prospek emas) terutama dalam acara kelas yang lebih berat menerusi Muhd Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Muhammad Robial Sobri.

“Tetapi itu tidak bermaksud pesilat kita yang bertanding dalam kategori lebih kecil seperti Muhammad Faizul Nasir dalam kategori Putera B, gagal memberikan saingan dan saya yakin pesilat kita, terutama pesilat muda, akan memberikan persembahan terbaik,” katanya dalam majlis rumah terbuka Aidilfitrinya di Batu Caves, malam tadi.

Megat Zulkarnain, yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, bagaimanapun, mengingatkan pesilat negara supaya tidak memandang rendah keupayaan pesilat negara lain seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan tuan rumah, Filipina, yang bakal memberikan saingat sengit dalam temasya berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata skuad silat negara akan menjalani latihan intensif selama dua minggu di Thailand bulan depan sambil memaklumkan negara jiran berkenaan menjadi destinasi latihan kerana ia merupakan antara pencabar utama dalam sukan silat di rantau ini.

“Saya difahamkan Thailand akan menganjurkan Kejuaraan Silat Pantai Dunia (pada tarikh sama), tetapi kami mengambil keputusan untuk tidak menghantar pesilat negara sebab kejohanan berkenaan agak kasar dan kami risau mereka tidak sempat pulih sebelum bermulanya Sukan SEA,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan pesilat ke temasya itu, Megat Zulkarnain berkata Jawatankuasa Pemilihan dan Persediaan Atlet Pesaka akan mengadakan mesyuarat bulan depan bagi menentukan senarai akhir barisan pesilat negara ke Filipina.

Filipina dilaporkan hanya mempertandingkan 10 acara silat dengan menggugurkan acara Putera dan Puteri E yang pernah dimenangi dua juara dunia, iaitu Muhd Al Jufferi dan Siti Rahmah, dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekali gus menyaksikan Malaysia sah kehilangan dua pingat emas.

Untuk rekod, skuad silat negara muncul juara silat dalam temasya Kuala Lumpur 2017 dengan kutipan 10 pingat emas.

-- BERNAMA