Setiausaha Agung, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menegaskan sasaran lapan emas daripada sukan silat mampu membantu Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan.

Lapan emas disasarkan tetapi siapa yang menjadi harapan untuk merealisasikan misi Pesaka itu tidak dijelaskannya.

Malah, senarai akhir pesilat yang akan membawa nama negara dalam Sukan SEA hanya akan dikeluarkan hujung Mei ini, selepas dua kejohanan di Uzbekistan dan Belgium, bermula bulan depan.

"Sasaran lapan pingat emas adalah realistik, kalau lebih dikira bonus," katanya. "Ini kerana mengambil kira kita sebagai tuan rumah selain sukan pertempuran ini memerlukan sokongan yang padu.

"Dengan adanya pesilat-pesilat kita yang bertaraf dunia, saya tak nampak sasaran lapan emas itu perkara yang mustahil."

Megat Zulkarnain ditemui dalam majlis pelancaran Pra-Sukan SEA Kejuaraaan Silat 7 Negara Asia Tenggara yang disempurnakan Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, hari ini.

Tujuh negara Asia Tenggara tidak melepaskan peluang untuk beraksi dalam Pra-Sukan SEA ini bagi menyesuaikan diri dengan format baru dan cara pengiraan mata bagi setiap perlawanan.

"Bagi saya, bagusnya Pra-Sukan SEA ini adalah untuk menguji teknik dan taktikal kita sendiri selain pihak lawan," kata juara silat dunia 2016, Mohd Al-Jufferi Jamari.