Jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Muhd Amin Abdul Rahim, melahirkan rasa gusar terhadap permukaan gelanggang di Dewan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dilaporkan tidak rata dan mampu mendatangkan kecederaan kepada anak buahnya.

Ini merupakan kali pertama skuad negara mencuba gelanggang di Dewan MITEC.

Ujian pertama skuad negara di gelanggang itu berakhir dengan kemenangan 7-3 ke atas pasukan Australia Barat.

Di sebalik kejayaan itu, Amin bimbang dengan keadaan permukaan gelanggang, apatah lagi dewan ini bakal dijadikan venue untuk Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Sedikit mengganggu tetapi jika tidak dibetulkan, kami perlu serasi dengan gelanggang yang ada," ujar Amin.

Pergerakan pemain tampak terbatas, namun pemain, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, mengakui sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang tersebut.

"Keadaan gelanggang memang tidak sekata tetapi kami perlu mengambil peluang untuk membiasakan diri," katanya.

Skuad negara masih mempunyai empat lagi siri perlawanan persahabatan dengan Australia Barat, dengan perlawanan seterusnya akan bersambung esok.