Jauh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, menganggap sasaran meraih sekurang-kurangnya enam pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mampu dicapai walaupun lebih tinggi berbanding dua tahun lalu.

Bagi Nauraj, banyak perkembangan positif telah ditunjukkan skuad olahraga kebangsaan sejak tahun lalu, sekaligus memberi keyakinan kepadanya untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain itu, banyak rekod kebangsaan yang telah dipecahkan dan itu menandakan kebangkitan di dalam kem negara.

“Pada saya, sasaran enam emas adalah satu sasaran yang mampu dicapai memandangkan olahraga adalah sukan utama dan lebih daripada 40 pingat yang ditawarkan.

“Saya percaya sasaran itu akan dapat kami raih,” kata Nauraj.

Jika sasaran itu berjaya, ia akan menjadi rekod terbaik skuad olahraga dalam Sukan SEA sejak tahun 2009.

Dalam masa sama, Nauraj lega apabila KOM mengecualikan dirinya daripada bertanding dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bubhaneswar, India bulan depan bagi memastikan dia bersedia menghadapi Kejohanan Dunia di London, England, Ogos nanti.

“Kami semua mahu mempertingkatkan prestasi, jadi saya percaya selagi saya mengikuti perancangan yang telah disediakan, segala-galanya akan berjalan lancar."