Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyematkan amanat kepada atlet negara agar tidak berputih mata di laman sendiri ketika menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara bagi menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur.

Misi muncul juara keseluruhan ternyata jelas dengan pengumuman sasaran 111 pingat emas buat kontinjen Sukan SEA dan 103 emas untuk Sukan Para ASEAN.

Meskipun atlet negara berupaya menawan pentas tertinggi dunia, Najib berasakan kempen temasya edisi ke-29 ini bersifat peribadi memandangkan status Malaysia sebagai tuan rumah.

Pencapaian negara dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Rio 2016 sehingga hari ini menjadi penanda aras kemampuan luar biasa atlet Malaysia.

Namun, kejayaan di pentas Sukan SEA memungkinkan sesuatu yang lebih istimewa, iaitu legasi untuk dijadikan aspirasi rakyat Malaysia untuk tempoh jangka panjang.

"Tidak kira keturunan, warna kulit dan budaya, tetapi dalam sanubari setiap rakyat Malaysia mahu melihat kejayaan atlet kita.

"Kejayaan untuk melihat Malaysia sebagai tuan rumah yang terbaik.

"Dan lebih daripada itu lagi, akan muncul sebagai juara Sukan SEA kali ini," ujarnya.

Perdana Menteri menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil kedua-dua kontinjen, dengan tanggungjawab itu digalas tiga juara dunia, Al-Jufferi Jamari, Azizulhasni Awang dan Cheong Jun Hoong.

Sementara itu, tiga wira Sukan Paralimpik Rio, Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi, disahkan memikul tugas itu untuk kontinjen negara dalam Sukan Para ASEAN.

"Negaraku.... negaraku... negaraku, ayuh berjuang dalam Sukan SEA kali ini."