Finalis bola sepak Sukan SEA 2015, Myanmar, menganggap Malaysia sebagai penghalang utama kepada cita-cita memastikan pingat emas Sukan SEA menjadi milik mereka selepas dikecewakan di Singapura.

Bagaimanapun, mereka sedar tuan rumah, Malaysia, bakal memberi kesukaran untuk merealisasikan hasrat itu selain mengharapkan faktor cuaca tidak mengganggu perlawanan.

Prestasi semasa anak buah Datuk Ong Kim Swee turut mendapat perhatian jurulatih Myanmar, Gerd Zeise, susulan kejayaan menempah tiket ke Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, bulan lalu.

"Sasaran kami adalah mendapatkan emas.

"Namun, kami perlu melepasi peringkat kumpulan jika mahu ke perlawanan akhir," katanya yang akan mempersiapkan anak buahnya untuk aksi pertama Kumpulan A pada sebelah petang berdepan Singapura, Selasa depan, manakala akan bertemu Malaysia pada 21 Ogos.

Sementara itu, skuad bola sepak Filipina terlebih dahulu tiba di Kuala Lumpur menerusi penerbangan pada sebelah pagi.

Jurulatih Filipina, Marlon Moro, melabel Malaysia bakal mengulangi kecemerlangan dalam saingan Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dengan muncul juara dalam bola sepak.

Moro, yang ketika itu menyarung jersi The Azkals, menjadi saksi kekuatan Malaysia membenam Singapura 3-1 di Stadium Merdeka.

"Bagi saya, Malaysia adalah pasukan pilihan.

"Kami beruntung dapat menguji mereka Disember tahun lalu di Manila.

"Kami berjaya meraih keputusan seri dan itu melonjakkan semangat kami.

"Biarpun berada dalam kumpulan berbeza, namun ia penting untuk kami membuktikan sesuatu," kata Moro.