Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, terkejut apabila kes doping berjaya dikesan hanya selepas beberapa hari temasya KL 2017 berakhir, namun berharap ia tidak membabitkan atlet Malaysia kerana rakyat masih meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan.

Setakat ini, identiti atlet dan negara terbabit tidak dapat didedahkan kerana Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sedang menjalankan siasatan.

Apa yang pasti, ia membabitkan pemenang pingat, sekaligus memusnahkan impian Malaysia untuk menjadikan temasya ke-29 ini bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

"Walaupun MOM telah pun menyerahkan penganjuran Sukan SEA kepada Majlis Olimpik Filipina, kami mempunyai persetujuan sekiranya timbul kes membabitkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, maka MOM akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes ini.

"Kami juga yakin kes ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan ini," kata Beng Choo.

Sebanyak 836 sampel diuji sepanjang temasya itu dengan 32 daripadanya membabitkan ujian darah.

Ketika ini, Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping SEAGF sudah menerima satu pertiga keputusan ujian yang dijalankan dan masih menunggu bakinya daripada makmal ujian doping di New Delhi, India.

"Kami berharap tiada lagi kes-kes lain yang akan timbul.

"Kami tidak boleh mengawal atlet-atlet negara lain supaya mengawal sumber makanan dan minuman mereka.

"Ia adalah tanggungjawab chef-de-mission (CDM) dan pengurus pasukan negara masing-masing," tambahnya.