"Hantar kontinjen besar yang berkualiti". Itu pandangan Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA 2017 dalam misi negara untuk muncul juara keseluruhan temasya, Ogos depan.

Malaysia merancang untuk menghantar lebih 900 atlet dan pegawai.

Ia sepatutnya menjadi jumlah terbesar Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan secara tidak langsung mencerahkan peluang untuk menumbangkan juara bertahan, Thailand, dalam perebutan gelaran juara keseluruhan.

Namun, Kok Chi menegaskan atlet yang perlu dipilih haruslah berkualiti untuk mewakili negara.

"Oleh kerana kita menjadi tuan rumah, kita mestilah menghantar kontinjen yang bukan sahaja kuat, tetapi juga besar.

"Saya sudah berjanji, iaitu Malaysia boleh muncul juara.

"Dengan Program Kita Juara, saya berasa gembira dengan peningkatan prestasi olahraga," ujarnya.

Ketika ini, seramai 800 atlet berada dalam Program Kita Juara.

Majlis Sukan Negara (MSN) meramalkan seramai 925 atlet akan terpilih dengan atlet negara akan bertanding dalam setiap acara.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA akan dipengerusikan oleh Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.

Sebanyak 20 persatuan sukan seperti akuatik, badminton, basikal dan olahraga akan membentangkan senarai calon atlet mereka, termasuk yang akan merebut tempat dalam kategori B.

Dalam Sukan SEA Singapura 2015, Malaysia menghantar seramai 356 atlet dengan menamatkan cabaran di tangga keempat secara keseluruhan.