Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, meramalkan kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bakal mencatat sejarah sebagai kontijen paling ramai iaitu menghampiri 1,000 atlet, sekaligus mengatasi penyertaan dalam Sukan SEA Korat 2007.

Setakat ini, 560 atlet sudah didaftarkan selepas sesi pemilihan program Kita Juara, namun ia tidak membabitkan atlet acara berpasukan.

MOM meramalkan jumlah sebenar kontinjen negara adalah di antara 900 hingga 1,000 orang yang bakal mengatasi rekod penyertaan di Korat 2007, iaitu seramai 820 atlet.

"Ini akan menjadikannya jumlah yang paling besar dan saya berasakan jumlah ini tidak akan dapat diatasi di edisi akan datang.

"Ini kerana jumlah acara yang bakal berlangsung amat besar," jelas Beng Choo.

Jumlah penyertaan atlet negara dalam semua acara penting untuk mencerahkan peluang muncul juara keseluruhan.

Ketika muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001, Malaysia menghantar 673 atlet, jumlah kedua paling ramai selepas negara jiran, Thailand.

Sementara itu, MOM mengesahkan beberapa negara lain sudah mula menghantar senarai atlet mereka dengan tumpuan utama terhadap berbasikal trek yang dikhuatiri menjadi mangsa boikot.

"Kami perlu menanti penyerahan senarai nama kerana barulah kami dapat membuat anggaran sebenar," tambah Beng Choo.