Kelibat atlet dekathlon negara, Mohammad Luqman Mohd Zuki, mencuri tumpuan apabila tetap menyertai perhimpunan akhir kontinjen negara walaupun dengan berkerusi roda, hari ini.

Luqman ditimpa kecederaan ketika berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) pada sebelah pagi ini apabila kakinya terluka selepas terkena besi tajam, namun dia tetap komited untuk menjadi sebahagian daripada 700 atlet negara dalam perhimpunan itu.

"Ketika cuba berlatih lompat tinggi, ada besi terjatuh mengenai kaki saya.

"Saya lantas ke Institut Sukan Negara (ISN) untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor memberitahu saya memerlukan 10 hari untuk pulih sepenuhnya.

"Oleh itu, saya akan sempat bertanding dalam acara saya pada 22 Ogos nanti," ujarnya.

Mujur kakaknya, Shahidatul Nadia, yang juga atlet lompat jauh negara sentiasa membantu pergerakan Luqman.

Semoga semangat kental Luqman membantunya segera pulih, secara tidak langsung mengulangi kehebatan Malik Tobias yang terkenal dengan jolokan orang besi Asia Tenggara pada era 90-an.