Atlet angkat berat negara, Loro Wellkinson Peuji, berazam untuk memecahkan rekod kebangsaan bagi acara snactch, sekaligus menyumbang pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Selain itu, anak jati Long Pasia, Sipitang, Sabah yang berusia 22 tahun itu turut bertekad memperbaiki rekod peribadinya dalam acara clean & jerk.

"Saya menyasarkan melakukan angkatan 146kg dalam acara snatch bagi memperbaharui rekod kebangsaan dan memperbaiki rekod peribadi dalam acara clean & jerk dengan angkatan 173kg.

"Saya harap dapat mengotakan sasaran angkatan itu dan berharap ia mampu menyumbang pingat buat negara...tidak kiralah apa warna pingat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Loro yang kini berlatih di ibu negara mencatat angkatan peribadi terbaik 145kg dalam acara snatch, iaitu rekod baru kebangsaan yang dilakukan dalam Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan tahun lalu dan 171kg dalam acara clean & jerk.

Penyertaan dalam Sukan SEA tahun ini adalah lembaran baharu Loro sebagai atlet angkat berat kerana ia adalah penampilan pertamanya dalam sukan dwi-tahunan Asia Tenggara berkenaan.

Bagaimanapun, bertanding di peringkat tinggi bukan perkara baru bagi Loro kerana dia telah beberapa kali mewakili negara dalam pelbagai kejohanan luar dan dalam negara, termasuk peringkat remaja.

Loro mula menjinakkan diri dalam sukan angkat berat pada usia 15 tahun dan menyertai kejohanan-kejohanan peringkat negeri Sabah.

Kali pertama terpilih membawa cabaran Sabah ketika berusia 16 tahun dalam Kejohanan Karnival Pelapis Kebangsaan 2011, dia memenangi pingat gangsa dan terus mendapat tempat dalam program pelapis kebangsaan.

Prestasi konsisten memberi laluan kepadanya diserapkan ke skuad elit kebangsaan pada usia 20 tahun, sekaligus membuka ruang dan peluang kepadanya mendapat pendedahan latihan dan pertandingan di dalam dan luar negara.

Tahun lalu, Loro menyumbangkan dua pingat emas untuk Sabah dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dengan angkatan snatch 137kg dan clean & jerk 166kg. Angkatan snatch itu adalah rekod baru kejohanan.

"Saya harap saya dapat kotakan sasaran saya dalam Sukan SEA nanti...saya akan cuba yang terbaik," kata Loro yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Komanwel di Pulau Pinang tahun lalu.

Loro adalah antara empat atlet angkat berat daripada program Kita Juara di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) yang terpilih membawa cabaran negara ke Sukan SEA tahun ini. Tiga lagi atlet adalah Hafifi Mansor, Muhamad Fazrul Azri dan Hazal Wafi Izhar.