Larian obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bukan sekadar satu aksi simbolik bagi menandakan ketibaan temasya dwitahunan itu, malah turut mencerminkan Malaysia sebagai negara luar biasa.

Obor keramat ini membakar teguh di sekitar ibu negara hari ini sambil dijulang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Di sebalik mercu kebanggaan Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, obor ini turut dibawa merentas gimik menakjubkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, memahat nama dalam sejarah KL2017 apabila melakukan 'base jump' dari puncak Menara Kuala Lumpur.

Dari ketinggian 300 meter, terjunan tersebut paling bertepatan dalam mencerminkan semangat dan keberanian atlet negara.

"Saya rasa yang penting adalah memiliki mentaliti kemenangan. Dengan adanya mentaliti seperti ini, barulah kita akan pergi lebih jauh daripada kemampuan kita.

"Sekiranya mentaliti ini dapat diterapkan dalam setiap atlet negara, sudah pasti kita bukan sahaja akan berjaya dalam Sukan SEA, malah di pentas antarabangsa juga," ujar Lokman.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, juga berkongsi buah fikiran dan amanat Perdana Menteri dalam misi Malaysia untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA.

"Perdana Menteri sendiri telah melawat Stadium Nasional Bukit Jalil. Setakat ini, beliau berpuas hati dengan segala persiapan.

"Cabaran yang diberikan kepada kita untuk muncul juara keseluruhan adalah satu cabaran besar," katanya.

Khairy juga sempat meluangkan masa untuk memberi taklimat kepada barisan sukarelawan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN sambil menyifatkan mereka adalah duta kecil Malaysia ketika temasya berlangsung.

Sebanyak 54,000 permohonan telah dihantar sejak ia dibuka pada November 2015 dan akhirnya ditapis kepada 13,000 sukarelawan sahaja yang terpilih untuk membantu melancarkan temasya berkenaan.

Atlet boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, turut berasa gembira dengan sokongan yang bakal diberikan setiap sukarelawan.

"Saya sangat terkejut melihat betapa ramainya sukarelawan yang akan memberi bantuan kepada kami sepanjang temasya nanti," jelasnya.