Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan 70 atlet dalam senarai akhir pemilihan ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zainal Abbas, menjelaskan daripada 70 atlet itu, 33 adalah atlet yang melepasi had kelayakan untuk beraksi dalam temasya dwitahunan tersebut.

Selebihnya adalah atlet berpotensi, yang turut berada dalam senarai akhir pemilihan bagi tujuan pendedahan.

"Seramai 33 atlet melepasi had kelayakan dengan meraih pingat perak sekurang-sekurangnya dalam kejohanan Sukan SEA di Singapura. Kali ini, kami memberikan laluan kepada atlet dengan tujuan pendedahan beraksi di pentas antarabangsa, sekaligus memburu pingat," kata Zainal.

Zainal berpuas hati dengan prestasi beberapa atlet seperti Rayzam Shah Wan Soffian dan Irfan Shamsuddin yang berjaya mencatat rekod baru kebangsaan baru-baru ini.

Zainal optimis atlet olahraga negara tidak akan mencapai kemuncak prestasi terlalu awal sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Irfan telah melakukan catatan yang baik dalam dua kejohanan dan dia akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan untuk mencapai tahap terbaik pada Ogos ini."