Dua pemain ping pong negara, Mohd Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim, bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Sukan SEA kerana ia bakal menjadi penampilan terakhir mereka dalam temasya ini.

Shakirin yang berusia 32 tahun membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA pada 2003 di Vietnam.

Sock Khim, setahun lebih tua berbanding Shakirin, mula mencipta nama dalam temasya ini di Brunei 1999.

Kerana itu, tiada venue lebih sesuai daripada mengucapkan selamat tinggal kepada saingan ini kalau bukan di laman sendiri.

"Sebagai tuan rumah, sedikit-sebanyak ia memberikan semangat kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam penampilan terakhir saya," kata Shakirin.

"Saya melihat terdapat peningkatan dalam mutu permainan skuad pingpong negara, saya percaya kami mampu menghasilkan sesuatu," ujar Sock Khim.

Skuad ping pong negara yang akan ke China bulan depan bagi kem latihan fasa akhir, menyasarkan tiga gangsa bagi kempen Kuala Lumpur 2017.

Shakirin dan Sock Khim, bagaimanapun, berhasrat meninggalkan kesan lebih mendalam sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada temasya ini.

"Saya akan cuba meraih satu pingat dan mengutamakan acara perseorangan," tambah Shakirin.

Singapura 2015 menyaksikan Malaysia membawa pulang tiga gangsa dan satu perak yang disumbang Sock Khim menerusi acara perseorangan.