Jurulatih bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui ketajaman penyudah skuad muda negara kurang berkesan dalam pertemuan menentang Brunei semalam, namun tiada rungutan dengan kemenangan tipis 2-1 dalam aksi pertama Kumpulan A itu.

Skuad muda negara turun berdepan Brunei dengan harapan mampu meraih kemenangan besar dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Ia seakan-akan mampu dijelmakan anak buah Kim Swee apabila garang di depan seawal minit keempat menerusi rembatan kencang Safawi Rasid.Begitupun, kemaraan skuad muda negara tersekat apabila Brunei membuat kejutan hasil jaringan penyamaan Zulkhairy Hadi Razali pada minit ke-12.

Mujur, Adam Nor Azlin berjaya merobek gawang Brunei dengan tandukan tepat pada minit ke-60 untuk memastikan tiga mata penuh buat skuad muda negara.

"Kami telah menghasilkan banyak peluang dan kami harus menyempurnakannya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kami," kata Kim Swee.

Sementara itu, pengendali Brunei, Kwon Oh Son, mengakui pemainnya gementar beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, namun memuji karakter pemainnya untuk bangkit
memberi tentangan sengit berdepan lawan.

"Kehadiran penyokong Malaysia menjadi punca Brunei kehilangan tumpuan di awal permainan, dan ia punca kami bolos pada minit-minit awal," kata Oh Son.

Saingan Kumpulan A kini didahului oleh Myanmar selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Singapura, diikuti skuad kendalian Kim Swee di tangga kedua.

"Kami sedikit kecewa kerana dibolosi di awal permainan ketika berdepan Brunei, tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku," kata kapten skuad negara, Adib Zainuddin.

"Saya sangat bersyukur kerana berjaya menjaringkan gol. Bagaimanapun, saya masih belum berpuas hati dengan permainan kami tetapi tetap gembira dengan kemenangan ini," kata Safawi pula.