Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak menyembunyikan rasa gembira selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, sah kembali menyertai skuad ekuestrian endurance negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dua hari lalu, Sultan Mizan membuat keputusan untuk menarik diri daripada temasya dwitahunan itu selepas kuda yang dimiliki tidak berada dalam keadaan terbaik untuk bertanding.

Bagaimanapun, baginda menarik balik keputusan itu dan bagi Khairy, perkhabaran itu merupakan satu berita baik, khususnya kepada acara endurance yang menjadi sasaran utama untuk mendapatkan pingat emas buat negara.

Beliau, yang mengetahui berita itu semalam, yakin semua atlet dan rakyat negara ini turut menyambut gembira kehadiran semula Sultan Mizan dalam kontinjen.

Turut menyambut baik kemasukan semula Sultan Mizan adalah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo.

"Kalau itu keputusan yang telah dibuat oleh Tuanku, maka saya percaya dan yakin ia akan menambah semangat pasukan endurance kita," ujarnya.

"Persatuan Endurance telah memohon untuk menukar salah seorang daripada atlet, iaitu Tuanku Mizan.

"Saya difahamkan pihak persatuan telah menghadap Tuanku untuk merayu supaya Tuanku dapat menyertai semula Sukan SEA kerana berdasarkan senarai, mereka bakal kekurangan ahli dalam pasukan.

"Kami difahamkan bahawa Tuanku telah memberi keizinan untuk dibenarkan beraksi dalam Sukan SEA," kata Beng Choo.

Mengenai beberapa acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berkemungkinan ditangguhkan ekoran hujan berdasarkan ramalan kaji cuaca, Khairy menjelaskan pihak Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC) sudah mempunyai perancangan tersendiri.

Ia termasuk penyusunan jadual pertandingan yang tidak terlalu ketat agar semua acara dapat dijalankan pada tarikh yang telah ditetapkan.

"Jadual itu memang wujud kelonggaran untuk apa sahaja penangguhan yang disebabkan oleh cuaca.

"Sukan tenis, contohnya, kami telah menambah kemudahan lampu di stadium berkenaan supaya jika acara itu tidak boleh diselesaikan pada waktu siang, ia boleh dibawa ke waktu malam," katanya.