Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mencabar skuad tenis negara mencipta kejutan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur walaupun tiada sebarang sasaran pingat emas diletakkan kepada mereka.

Khairy sempat meluangkan masa melawat latihan pasukan negara hari ini selain meninjau persiapan akhir gelanggang pertandingan yang akan digunakan untuk Sukan SEA.

Menurutnya, beliau mahu skuad tenis, yang dianggap sukar meraih pingat berdasarkan kekuatan negara serantau, menanamkan harapan untuk cuba memberi saingan terbaik.

"Mungkin terdapat kejutan yang mampu dihasilkan, tiada sasaran khusus yang diberikan, tetapi saya percaya kejutan mampu dihasilkan," katanya.

Mengenai Kompleks Tenis Jalan Duta, Khairy berpuas hati dengan kemudahan enam gelanggang sambil menyifatkan semuanya sudah bersedia untuk menghadapi Sukan SEA.

Dalam pada itu, Khairy yang turut melakukan pemeriksaan di gelanggang memanah Bukit Jalil, menjelaskan masih terdapat beberapa perkara yang perlu disegerakan sebelum acara itu bermula pada 16 Ogos.