Peluang pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, untuk menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kembali cerah apabila proses penyembuhan pembedahan lututnya dijangka mengambil masa tiga bulan dengan penggunaan teknologi baru.

Khairulnizam selamat menjalani pembedahan 'meniscus cruciate ligament' (MCL) di sebuah hospital swasta di ibu kota.

Pada awalnya, pelayar kelahiran Kedah itu dijangka terlepas temasya Sukan SEA, Ogos depan, kerana proses penyembuhannya dijangka mengambil masa panjang.

Penggunaan teknologi baru bagaimanapun dijangka mampu membantu Olimpian 2016 itu menyertai skuad pelayaran negara yang akan beraksi di Langkawi, Kedah.

"Semasa ujian imbasan, memang jelas lutut saya tercedera sebelum doktor membuat rawatan susulan.

"Selepas pembedahan, barulah doktor dapat mengesahkan saya boleh kembali sembuh dalam tempoh tiga bulan berbanding jangkaan awal enam bulan.

"Insya-Allah, saya akan sempat membuat persiapan untuk Sukan SEA nanti," katanya.

Kem pelayaran negara muncul penyumbang terbanyak pingat emas di Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu dengan tujuh emas.

Daripada jumlah itu, Khairulnizam menyumbang satu emas dan satu perak dalam acara laser standard.