Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, bakal menarik diri daripada acara 4x400 meter dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi mengurangkan beban dalam misi bergelar atlet lelaki terpantas Asia Tenggara selepas tersenarai dalam tiga acara.

Khairul tersenarai dalam empat acara -- 100, 200, 4x100 dan 4x400m -- menjelang hari pertama saingan olahraga, Sabtu ini.

Begitupun, jumlah itu dilihat akan membebankan pelari kelahiran Bukit Katil, Melaka ini kerana misi utama adalah menjuarai acara riben biru.

"Memang saya mendaftar untuk empat acara tetapi saya hanya akan lari dalam acara 100, 200, 4X100 meter.

"Kalau diperlukan untuk lari dalam 4X400m, saya akan melakukannya," jelas Khairul Hafiz yang ditemui selepas dilantik duta rasmi UFL-Suunto sempena pelancaran jam Suunto Spartan Ultra di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, jurulatih, Mohd Poad Kassim, turut tidak pasti sama ada kelibat Khairul Hafiz akan kelihatan bagi acara 4x400m.

"Kita telah mendaftarkan enam peserta,.

"Apabila melihat senarai pelari, memang persatuan mahukan adanya pelari bagi acara 4x400m.

"Tetapi, sama ada Khairul akan menyertainya atau tidak belum diketahui lagi," katanya.

Ketika ini, Khairul Hafiz menghuni ranking pertama Asia bagi 100m dengan catatan 10.18 saat dan 200m dengan 20.90s.

Sementara itu, syarikat Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) turut mengumumkan insentif RM1,500 selain tambahan RM4,000 lagi jika Khairul merangkul emas 100 dan 200m.

"Jika dia memecah rekod 100 dan 200m, itu sesuatu yang bagus.

"Memenangi emas adalah satu perkara manakala kejayaan memecah rekod adalah pencapaian yang berbeza," kata Datuk Radha Krishnan selaku Pengarah Urusan UFL.

Pusingan saringan acara 100 meter akan berlangsung terlebih dahulu pada 22 Ogos ini, dan sehari kemudian, Khairul Hafiz akan mengikuti saringan acara 200 meter.

Dia juga perlu fokus kepada aksi final 4x100m yang akan mengambil tempat dua hari selepas itu.