Perenang jarak jauh negara, Kevin Yeap, hanya mahu menggunakan masa dua bulan ini dengan latihan yang konsisten apabila tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan sehingga Sukan SEA bermula pada Ogos.

Kali terakhir dia menyertai kejohanan adalah dalam saingan perairan renang terbuka bulan lalu dengan meraih pingat gangsa bagi acara 10 kilometer.

Kevin semakin mempamerkan peningkatan selepas Piala Dunia di Abu Dhabi, Mac lalu, yang menjadi kejohanan pertamanya tahun ini.

Dia tidak berdepan masalah untuk sekadar melakukan latihan sehingga Ogos.

Malah, inilah masa untuknya mendapatkan rentak yang konsisten, apatah lagi kali terakhir acara renang terbuka dipertandingkan dalam Sukan SEA adalah pada 2011.

"Saya perlu berada di tahap terbaik dan perlu menitikberatkan pemulihan saya sehingga Ogos ini," katanya.

Selepas enam tahun, Kevin enggan lagi berputih mata untuk meraih pingat emas di Kuala Lumpur apabila hanya berpuas hati dengan gangsa dalam Sukan SEA Palembang.

Dia percaya bahawa tiga lagi perenang, iaitu Wong Jun Bin, Heidi Gan dan Angelina Chan, turut mampu menghadiahkan emas bagi acara itu dalam edisi ini.

"Saya perlu cuba yang terbaik untuk memenangi pingat emas. Kali terakhir acara ini dipertandingkan, saya masih kekurangan pengalaman."

Atlet yang berasal dari Ipoh, Perak ini pernah meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam Sukan SEA 2011.

Diharapkan dengan latihan konsisten selama dua bulan ini, Kevin mampu mengekalkan kecemerlangan buat temasya Sukan SEA kali ini.