"Larian paling meriah," itu tu pujian dilontarkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan selepas tamat peringkat kelapan Larian Baton Bangkit Bersama Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Seramai 5000 peserta mengambil bahagian dalam larian yang berlangsung di Phnom Penh lantas menjadikan larian kali ini yang terbaik berbanding tujuh peringkat lalu.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Kemboja kerana menganjurkan larian baton paling meriah setakat ini," jelas Datuk Saravanan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Belia dan Sukan Kemboja, Dr. Hang Chuonnaron mengharapkan atlet negara itu mengambil kesempatan Sukan SEA di Malaysia sebagai persiapan ke Sukan SEA 2023.

"Saya harap atlet dan pegawai kami menggunakan peluang bertanding di Kuala Lumpur sebaik mungkin sebagai persiapan kami menganjurkan Sukan SEA 2023.

"Temasya itu cukup penting kerana ia kali pertama kami akan jadi tuan rumah," ujar Dr. Hang Chuinnaron, Menteri Pendidikan Belia dan Sukan Kemboja.

Kemboja membuktikan kesungguhan menganjurkan Larian Baton Bangkit Bersama.

Mereka bukan saja mengumpulkan atlet dan pegawai, malah semua golongan peminat sukan hingga menjadikan laluan sepanjang 9 kilometer berlangsung dengan meriah.

Larian bermula di Kedutaan Malaysia menyusuri bangunan ikonik Kemboja seperti Parlimen, Istana DiRaja dan Pasar Wat Som Pov Meah.